Wednesday, December 1, 2010

MALAYSIA SELAKU `UNDERDOG' BERTEMU INDONESIA - PIALA AFF

PASUKAN Malaysia tampil sebagai `underdog' menjelang pertemuan sulung  dengan Indonesia dalam Kejohanan Piala AFF Suzuki 2010.

Namun bagi jurulatih K. Rajagopal menyifatkan `underdog' skuad bimbingannya itu akan bermain secara bertahan tetapi akan tetap bertindak mengasak kubu lawan.

"Mustahil jika mahu bermain dengan bertahan selama 90 minit, permainan bola yang baik adalah menyerang dan pada masa sama turut memastikan benteng sendiri tidak bolos.

"Saya juga berharap setiap yang bakal diturunkan perlu fokus dan bijak mengawal emosi agar peristiwa di Guangzhou tidak akan berulang," katanya.

Biarpun skuad negara kehilangan enam pemain utama akibat kecederaan itu bukan alasan kenapa pasukan negara tidak mampu mencipta kejayaan. Bagaimanapun, beliau berharap para pemain muda dapat 'memekakkan' telinga dengan sorakan penonton tuan rumah yang terkenal sangat hebat dan sebaliknya memberi tumpuan kepada strategi serta arahan yang diberikannya. 

Namun benteng pertahanan Rajagopal perlu berwaspada dengan pasukan bimbingan jurulatih dari Austria, Alfred Reidl yang sememangnya sudah membuat persiapan awal bagi menghadapi kejohanan kali ini. Skuad Garuda Merah Putih itu turut diperkuatkan dengan gandingan dua penyerang import berbisa Cristian Gonzales (Uruguay)  dan  Irfan Bachdein (Belanda) apabila kedua-duanya sudah mendapatkan kerakyatan negara itu. 

Tentunya tumpuan sudah pasti menjurus kearah pemain berusia 34 tahun berasal dari Uruguay yang kini beraksi dengan Kelab Persib Bandung dalam Liga Super Indonesia yang mendapat jolokan `El-Loco' - Sigila yang bakal ditugaskan untuk merobek gawang gol pasukan negara kita disamping penyerang berpengalaman yang tidak asing lagi Bambang Pamungkas. 

Tidak cukup dengan itu Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) juga sudah menghantar Pengarah Teknikalnya Sultan Harhara yang ditugaskan khas meneliti kekuatan dan prestasi setiap pasukan lawan bagi mendapatkan maklumat secukupnya buat Reidl. 

No comments: