Tuesday, November 30, 2010

AMRI YAHYAH INGIN MEMBALAS KEPERCAYAAN RAJAGOPAL

SEJAK sekian lama diketepikan oleh K Rajagobal, pemain tengah, Mohd Amri Yahyah sudah beranggapan bahawa kerjayanya sebagai pemain kebangsaan sudah terkubur begitu saja.

Namun, panggilan mengejut Sabtu lalu mengubah segala-galanya apabila kapten Selangor itu mendapati dirinya tersenarai dalam skuad akhir 22 pemain ke Kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) merebut Piala Suzuki di Indonesia, bermula esok.


Pemain berusia 29 tahun kelahiran Tanjung Karang itu tidak berada dalam senarai awal 30 pemain tetapi memanfaatkan kesempatan yang diberi ekoran musibah kecederaan melanda beberapa tonggak yang menyaksikan mereka diketepikan bagi Piala AFF dan Sukan Asia sebelum ini. 


“Saya terkejut mendapat panggilan Sabtu lalu. Selama ini saya tidak jangka akan mendapat panggilan untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan. 

“Kali terakhir saya bermain buat pasukan kebangsaan sebelum ini adalah ketika menentang Uzbekistan,” katanya sebelum berlepas bersama rakan ke Jakarta, semalam. 

Perlawanan menentang Uzbekistan pada kelayakan Piala Asia 2011 pada pertengahan November tahun lalu itu adalah penampilan terakhir Amri buat pasukan kebangsaan, namun kelibat Amri kembali menjadi sebut-sebutan selepas meledakkan dua gol cantik ketika gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United bertandang ke tanah air tiga bulan sebelum itu. 

Kecederaan yang melanda pemain senior, Norhafiz Zamani Misbah, Ahmad Fakri Saarani dan S Chanturu sewaktu kempen membanggakan Malaysia pada Sukan Asia di Guangzhou di samping ketiadaan dua kembar Abd Radzak, Zaquan Adha dan Aidil Zafuan serta pemain tengah inspirasi, Baddrol Bakhtiar, menyaksikan tanggungjawab berat terletak pada Amri mengemudi barisan gabungan pemain muda dan lama. 


1 comment:

nazurinu said...

Semoga Amri Yahyah dapat membuktikan bahawa pemilihannya ke AFF SUZUKI CUP adalah tdk sia-sia..diharapkan Amri menunjukkan taring sebenar pada kejohanan itu nanti.

http://malaysialeague.esq2u.com/