Akmal Rizal sah sertai Perak - Utusan Malaysia
KOTA BHARU - Kelantan kehilangan penggempur berbisa Akmal Rizal Ahmad Rakhli, apabila pemain berusia 29 tahun itu mengesahkan dia akan menyarung jersi Perak, musim depan.Akmal Rizal, yang membantu Red Warriors muncul juara Piala Malaysia buat kali pertama baru-baru ini, mengakui dia akan menyertai skuad Seladang dengan kontrak dua tahun.
Menurutnya, dia sudah pun menandatangani perjanjian dengan Perak, yang kini dikendalikan bekas jurulatih kebangsaan, Kelantan, Norizan Bakar.
"Begitupun, saya belum menandatangani sepenuhnya kontrak tersebut. Kontrak saya bersama Kelantan akan tamat hujung bulan ini, jadi saya perlu menghormati baki kontrak tersebut.
"Walaupun hanya semusim bersama Red Warriors, saya gembira kerana dapat menjalankan tugas sebagai seorang pemain dengan baik, membantu Kelantan muncul juara Piala Malaysia," katanya ketika dihubungi, semalam.
Tambahnya, kejayaan membantu Kelantan muncul juara Piala Malaysia amat bermakna sepanjang bergelar pemain profesional. Ditanya mengapa beliau memilih Perak, Akmal Rizal memberitahu dia mahu mencuba sesuatu yang baru bersama skuad tersebut."Sebagai pemain profesional, saya inginkan cabaran dan membuktikan sentuhan saya masih berbisa.
"Kejayaan membantu Kelantan pastinya mahu diulangi apabila mewakili pasukan Perak musim hadapan," ujarnya.
Tambahnya, sebelum meninggalkan Kedah pada 2006, dia sememangnya bercita-cita untuk menyertai banyak pasukan.Jelasnya, dia mungkin akan beraksi untuk tiga atau empat tahun lagi sebelum bersara.
Sepanjang bersama Red Warriors, bekas pemain kebangsaan itu menjaringkan sembilan gol, iaitu tiga pada saingan Liga Super dan enam gol pada Piala Malaysia.Akmal Rizal pernah beraksi bersama beberapa pasukan termasuk Kedah (2001-2006), Selangor (2007- 2008) dan Kuala Muda NAZA (2009), juga kelab luar negara iaitu Strasborg di Perancis selama dua tahun.
No comments:
Post a Comment