Tuesday, November 23, 2010

NORIZAM SALAMAN KEMBALI SERTAI JOHOR

Norizam Salaman kembali ke Johor
PENYERANG Negeri Sembilan, Norizam Salaman antara beberapa pemain pasukan itu yang digugurkan dan akan kembali ke pasukan lamanya, Johor bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan awal Januari ini.

Pemain berusia 26 tahun itu mengesahkan naib juara Piala Malaysia itu tidak menyambung khidmatnya selepas hanya semusim dan terpaksa meneruskan karier bola sepaknya dengan pasukan Johor yang diwakilinya sejak enam tahun lalu.

“Saya harap dapat memberikan sumbangan terbaik untuk membantu Johor sekurang-kurangnya kembali ke Liga Super musim 2012.




"Walaupun Johor beraksi di Liga Perdana musim depan, ia tidak mematahkan semangat saya memberikan sumbangan demi memastikan Johor kembali menjadi pasukan disegani,” katanya.


Pemain berasal dari Sri Gading, Batu Pahat itu mengaku setakat ini dia belum menandatangani perjanjian dengan skuad berkenaaan namun sudah membuat keputusan untuk bersama mereka musim depan selepas mengadakan perbincangan dengan pengurusan, baru-baru ini.


Dia juga mengakui sepanjang semusim bersama skuad Hoben Jang Hoben, banyak pengalaman ditimba terutama bimbingan daripada jurulatih berpengalaman Wan Jamak Wan Hassan yang bakal membantunya meningkatkan persembahan.

“Sudah pasti saya akan guna pengalaman itu ketika bersama Johor. Walaupun tidak beraksi dalam kelompok pemain utama, saya puas hati dan kejayaan paling manis ialah membantu Negeri Sembilan merangkul kejuaraan Piala FA apabila berjaya menjaringkan gol melalui sepakan penalti yang menewaskan Kedah, 5-4,” katanya.


Norizam yang menjaringkan tujuh gol ketika bersama Negeri Sembilan berazam meningkatkan prestasi dan memberikan sumbangan lebih baik bagi meletakkan dirinya sebaris dengan beberapa pemain utama lain.

“Saya akan berusaha meningkatkan prestasi kerana saingan Liga Malaysia makin mencabar dengan kehadiran pasukan baru dan pemain muda,” katanya.

No comments: