Monday, November 29, 2010

SKUAD MALAYSIA PIALA AFF SUZUKI 2010

SEPANG – Jurulatih K. Rajagobal mengingatkan pemain supaya tidak melayan provokasi penyokong fanatik pasukan tuan rumah, Indonesia pada perlawanan pembukaan Piala Suzuki AFF 2010 di Jakarta, esok.

Sebaliknya, Rajagobal menggesa pemain agar memberi fokus kepada permainan, dalam usaha memburu kemenangan pertama sebelum bertemu juara tiga kali, Thailand dan Laos pada dua perlawanan berikutnya.
‘‘Jika pemain gagal mengawal tekanan yang akan diberikan oleh penyokong pasukan tuan rumah, saya bimbang mereka boleh hilang tumpuan, seterusnya melakukan kesilapan mudah yang mungkin memberi ruang kepada lawan menjaringkan gol.

‘‘Sebenarnya itulah yang dimahukan oleh penyokong lawan. Oleh itu, saya harap para pemain menampilkan aksi seratus peratus dalam 90 minit aksi, jangan ambil kisah dengan ejekan atau provokasi penyokong lawan, ’’ kata Rajagobal yang ditemui di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ke Jakarta, semalam.
Sokongan padu para penyokong Indonesia boleh menjadi senjata tambahan buat skuad Garuda itu untuk memburu kemenangan ke atas Malaysia.

Ini ditambah hubungan kedua negara yang sedikit tegang beberapa bulan lalu, mungkin mendorong penonton tuan rumah lebih beremosi dalam perlawanan itu nanti.
Lantaran itu, pemain Malaysia harus memperkuatkan ketahanan mental menghadapi kerenah penyokong Indonesia, jika berhasrat mengutip tiga mata dalam pertemuan sulung Kumpulan A, dan seterusnya membuka langkah ke separuh akhir.

Bercerita mengenai peluang skuad negara, Rajagobal lebih selesa jika mereka dilabelkan dengan status underdog sambil menyifatkan kelebihan banyak berpihak kepada tuan rumah.
‘‘Dalam mana-mana kejohanan, sudah tentu pasukan tuan rumah mendapat sedikit kelebihan.
“Namun, itu tidak menggusarkan saya kerana yakin dengan kemampuan semua pemain, selagi mereka bermain mengikut arahan yang diberikan, ’’ katanya.
Nada Rajagobal begitu yakin, walaupun skuad yang terbang ke Jakarta semalam, sedikit tempang tanpa beberapa pemain utama.
Antaranya Aidil Zafuan Abdul Razak, Zaquan Adha, Baddrol Bakhtiar, Norhafiz Zamani Misbah, Mohd. Nasriq Baharom dan Azmi Muslim.

Ia ditambah dengan faktor kehadiran saat akhir ketua pasukan Selangor, Amri Yahyah mampu menambah sengatan di bahagian serangan
‘‘Saya terfikir mahu mengambil Amri selepas melihatkan aksinya ketika perlawanan persahabatan berdepan Selangor pada Jumaat lepas. Dia adalah seorang pemain yang saya amat perlukan di dalam pasukan ini, kerana mampu bertindak sebagai perancang dan membuka serangan.

‘‘Skuad ini sudah ramai pemain muda seperti Izzaq Faris Ramlan dan Faizal Abu Bakar. Oleh itu, kehadiran Amri amat diperlukan bagi mengimbangi skuad ini. Harus diingat, semua negara pada kejohanan ini kebanyakannya menampilkan pemain senior. Jadi amat penting kita membawa masuk pemain seperti Amri.
‘‘Sasaran ke separuh akhir tidak mustahil jika kita berjaya menampilkan aksi yang baik ketika bertemu Indonesia dan Thailand,’’ katanya.


Skuad negara 

Penjaga gol:
 Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Sharbinee Allawee 


Pertahanan: Mahali Jasuli, Mat Sabre Abu, Mohd Faizal Muhamad, Mohamad Fadhli Mohd Shas, Mohamad Muslim Ahmad, Mohd Khairul Helmi Johari, Asraruddin Putra Omar, Mohd Razman Roslan 


Tengah: Amar Rohidan, K Gurusamy, Safiq Rahim, Mohd Khyrill Muhymeen Zambri, Mohd Amirulhadi Zainal, S Kunanlan, Ashaari Shamsuddin, Faizal Abu Bakar 


Penyerang: Norshahrul Idlan Talaha, Mohd Safee Sali, Mohd Amri Yahyah, Izzaq Faris Ramlan 


JADUAL 

Kumpulan A
 


Esok - Malaysia mln Indonesia 
4 Disember - Malaysia mln Thailand 
7 Disember - Malaysia mln Laos

No comments: