KUALA TERENGGANU - Bekas pemain bola sepak KL Plus, Ree Shafiq Alwi disahkan akan menyarung jersi pasukan Terengganu bagi menghadapi saingan bola sepak musim depan.
Beliau akan bersama pasukan Terengganu pada akhir bulan ini bagi menjalani latihan semasa.
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata, pemain itu telah tamat kontrak bersama KL Plus dan akan bersama Terengganu pada musim depan.
“Buat masa sekarang, hanya pemain ini disahkan akan bersama pasukan kami manakala beberapa pemain lain belum dapat dipastikan kerana masing-masing masih terikat dengan kontrak pasukan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurutnya, walaupun pemain itu disahkan akan bersama Terengganu, namun beliau masih belum turun menjalani latihan disebabkan masalah keluarga.
“Insya-Allah, setelah masalahnya selesai, dia akan turun menjalani latihan, saya percaya selewat-lewatnya akhir bulan ini pemain itu akan bersama kami menjalani latihan,” katanya.
Mengulas mengenai kontrak pemain sedia ada, Che Mat berkata, pihaknya akan melepaskan pemain yang enggan bersama pasukan lagi manakala pemain yang akan tamat kontrak pada tahun ini dan masih berminat untuk bersama Terengganu digalakkan untuk turun menjalani latihan.
“Penilaian akan dibuat ketika mereka menjalani latihan, sekiranya mereka berpotensi dan berminat untuk terus bersama kami, kemungkinan kontrak mereka akan disambung,” katanya.
Che Mat berkata, beberapa lagi pemain baru yang akan bersama pasukannya pada musim depan tidak dapat diumumkan buat masa sekarang kerana masing-masing masih terikat dengan kontrak pasukan masing-masing.
“Masih ada beberapa pemain yang berminat untuk bersama pasukan kami, namun mereka belum disahkan lagi memandangkan kontrak mereka bersama pasukan sekarang masih belum tamat.
"Setelah tamat, kami akan mengumumkan siapa yang akan bersama kami pada musim depan dan siapa pula yang akan digugurkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment