JIKA mahu menjadikan impian beraksi di Sukan Olimpik 2012 London suatu kenyataan, skuad Olimpik kebangsaan perlu melepasi laluan penuh ranjau pada pusingan kelayakan untuk muncul empat pasukan terbaik dari Asia.
Biarpun beban digalas cukup hebat, jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee tidak menganggap ia satu tekanan melampau buat dirinya kerana menyifatkan sasaran itu bukan mustahil untuk digapai.
“Misi melayakkan diri ke London dilihat lebih cerah selepas ramai pihak memberikan kepercayaan kepada pemain muda kita untuk melakukannya. Memang ia bukan satu misi mustahil, tapi dalam masa yang sama kita perlu realistik kerana kita juga perlu melepasi pusingan kelayakan yang penuh mencabar.
“Kita akan berdepan Pakistan pada pusingan pertama dan jika berjaya, perlu melalui pusingan kedua sebelum berentap dalam saingan peringkat kumpulan. Pada saya, tuah undian juga turut memainkan peranan penting dalam saingan peringkat kelayakan.
“Memang saya tak kisah untuk bertemu dengan mana-mana pasukan, tapi kita perlu tahu kekuatan lawan dan harus realistik kerana saingan ini membabitkan pasukan kuat di Asia. Jika mahu mendapat slot ke Olimpik, kita kena menjadi empat pasukan terbaik di benua ini,” katanya.
Saingan bola sepak di Sukan Olimpik hanya membabitkan pemain bawah 23 tahun dan Malaysia menyandarkan harapan itu kepada Harimau Muda A yang kebanyakan dibarisi pemain berusia bawah 21 tahun.
Harimau Muda A yang akan turut beraksi buat kali pertama dalam Liga Super musim ini, memulakan kempen kelayakan Olimpik 2012 London dengan menanti kunjungan Pakistan pada 23 Februari depan sebelum bertandang ke Karachi bagi perlawanan kedua, 9 Mac.
Walaupun sebelum ini impian untuk melihat pasukan negara beraksi di temasya terbesar di dunia itu terlalu sukar untuk digapai selepas kali terakhir menempah tiket ke Sukan Olimpik Moscow pada 1980, kini ia kembali menyala selepas kejayaan Harimau Malaya merangkul kejuaraan Piala Suzuki AFF bulan lalu.
Malah cabaran turut dilontarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas menyerahkan ganjaran RM65,000 kepada setiap 25 anggota pemain dan jurulatih skuad kebangsaan kelmarin dengan meletakkan penanda aras baru yang perlu dicapai, iaitu melayakkan diri ke Sukan Olimpik London dan kembali menjadi kuasa Asia.
Menurut Kim Swee, walaupun skuadnya memiliki kualiti permainan yang bagus, namun beliau menuntut anak buahnya supaya mencontohi semangat juang skuad senior negara.
“Saya tidak nafikan pemain mempunyai kualiti yang amat baik kerana mereka sudah mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa. Mereka perlu sedar cabaran diberikan itu bukan satu tekanan dan harus mencontohi semangat juang tinggi pasukan kebangsaan yang menjuarai Piala AFF,” katanya.
Bagi persediaan menghadapi pusingan kelayakan Olimpik itu, Harimau Muda A akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad Olimpik Singapura pada 24 Januari ini selepas pertemuan dengan Qatar di Doha dibatalkan.