Thursday, November 3, 2011

TAHNIAH NEGERI SEMBILAN JUARA PIALA MALAYSIA 2011


TAHNIAH kepada pasukan Negeri Sembilan kerana berjaya mengungguli Piala Malaysia buat kali ke-3 selepas menundukkan Terengganu 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

Sudah semestinya orang yang paling bertuah ialah jurulatih Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah yang berjaya merencanakan strategi licik bagi memerangkap anak-anak buah Irfan Bakti untuk merangkul mahkota kejuaraan kali ini.

Memang tidak dinafikan jentera serangan skuad penyu yang diketuai Abdul Hadi dan Manaf Mamat cukup berbisa dengan dibantu gandingan mantap Ashaari Shamsuddin bersama Joseph Kallang Tee di bahagian tengah berjaya membenam dua pencabar sengit Selangor dan Kelantan diperingkat suku dan separuh akhir sebelum ini untuk mara ke final.

Namun Azraai yang sememang sudah lali diperingkat paling tinggi ini bijak menganalisis kekuatan lawan dan mengeksploitasi dengan begitu berkesan. Ashaari walaupun berjaya menghasilkan gol tetapi pergerakkannya agak sedikit terbatas. Begitu juga dengan Abdul Hadi dan Joseph yang terus tenggelam pada final malam itu. Hanya Manaf Mamat yang paling menonjol antara mereka berempat.

Tindakan bekas jurulatih Kedah itu menggunakan formasi 4-5-1 sedikit sebanyak berjaya merencatkan corak permainan pihak lawan. Namun Terengganu punyai peluang untuk memenangi perlawanan selepas mendahului 1-0.

Akibat terlalu berhati-hati bagi memastikan kedudukan itu kekal mereka mula mengamalkan corak permainan bertahan sehingga memberi ruang untuk Negeri Sembilan menggandakan asakan sekali gus mengikat permainan.

Penyerang berpengalaman Hairuddin Omar turut bertindak cemerlang dan bagi saya final kali ini jelas adalah perlawanan terbaik beliau.