Sunday, January 8, 2012

PIALA SUMBANGSIH 2012 - MILIK NEGERI SEMBILAN

SENTUHAN `MIDAS' JURULATIH AZRAAI KHOR MENJADI BAWA TUAH BUAT PASUKAN NEGERI SEMBILAN.

Tidak dinafikan sentuhan bekas jurulatih yang pernah membimbing Kedah musim 2007/2008 merangkul tiga kejuaraan berturut-turut tentu 
ianya suatu pencapaian yang boleh dianggap mustahil. 
Namun itulah hakikat sebenarnya tuan empunya diri yang kini menjadi 
jurulatih Negeri Sembilan yang sudah boleh dianggap sebagai `Special One' selepas berjaya membawa skuad Hobin Jang Hobin merangkul dua piala iaitu 2011 Piala Malaysia dan terbaru Piala Sumbangsih 2012 satu-satunya piala yang belum upaya dimiliki selepas dua kali percubaan.
Yang menjadi lebih menarik lagi dalam pertandingan Liga Super musim lalu kedudukan pasukan Negeri Sembilan agak kurang memberangsangkan namun selepas Azraai mengambil alih bagi menghadapi Piala Malaysia tiba-tiba ianya berubah dan seterusnya berjaya membawa pulang Piala Malaysia dengan menewaskan Terengganu 2-1 dalam perlawanan akhir.
Begitu dengan persediaan bagi menghadapi Piala Sultan Ahmad Shah musim ini. Persiapan pasukan Negeri Sembilan agak terganggu ekoran penghijrahan secara mendadak lima tonggak utama meninggalkan pasukan berhijrah menyertai pasukan lain. Namun perjudian dan yakin terhadap pemain muda dan baru itu berjaya membuahkan hasil apabila berjaya mengatasi lawan yang dianggap pilihan Kelantan 2-1.
Dalam perlawanan akhir Sabtu lalu, Azraai Khor menampilkan ramai muka-muka baru seperti Mathevanan, Mohd Shakir, Rashid Mahmud, Tengku Qayyum dan penyerang import tunggal dari Cameroon Jean Emmanuel Effa Owona. Selain muka lama seperti Norhafiz Zamani Misbah, S. Kunanlan dan Shuhairain Abu Samah.
Biarpun pada satu ketika Negeri Sembilan ketinggalan 0-1 hasil jaringan Norshahrul Idlan Talha tetapi mereka berjaya bangkit dengan pemain import yang pernah beraksi dengan kelab Hatta Dubai itu meledakkan dua jaringan untuk memberi kemenangan berharga buat skuad bimbingan jurulatih itu.
Jelas pemain muda dan muka-muka baru itu langsung tidak menunjukkan rasa gementar berhadapan dan bersaing dengan pasukan lawan malah berjaya mempamerkan corak permainan yang membanggakan dengan komitmen yang begitu tinggi sekali.
Sekali lagi diucapkan sekalung tahniah buat pasukan Negeri Sembilan semoga terus berjaya.