Wednesday, June 8, 2011

PIALA FA 2011 - KELANTAN PUNYAI KELEBIHAN

MENJELANG pertembungan antara dua buah pasukan gergasi pantai timur Kelantan dan Terengganu bagi merebut Piala FA Edisi ke- 21 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini, bakal menyaksikan satu perlawanan yang menarik lagi sengit yang jarang dapat kita saksikan antara kedua-dua buah pasukan ini bertembung dalam mana-mana perlawanan akhir sebelum ini.
Berdasarkan prestasi semasa Kelantan dilihat punyai kelebihan untuk merangkul kejuaraan lebih-lebih lagi selepas berjaya menjinakkan skuad bimbingan Irfan Bakti 3-0 di gelanggang lawan dalam perlawanan Liga Super Isnin lalu.

Bagi penulis jaringan 3-0 itu agak besar dan ianya seolah-olah menampakkan kelemahan skuad penyu dan sebaliknya menunjukkan kehebatan skuad bimbingan Dato' M.Karathu tetapi hakikat sebenarnya keputusan itu tidak menggambarkan perlawanan sebenar. Bagi saya selepas melihat perlawanan itu, keputusan 3-2 atau 2-1 adalah lebih adil.

Corak permainan counter-attack yang dipamerkan oleh Kelantan dalam perlawanan itu cukup berkesan dan kerapkali berjaya memerangkap benteng pertahanan lawan. Namun bukan menidakkan kehebatan pasukan Terengganu kerana mereka juga turut memiliki peluang untuk menjaringkan gol dalam perlawanan itu cuma nasib tidak menyebelahi mereka.

Ashaari Shamsuddin
Juga perlu diingatkan dalam perlawanan itu Terengganu turun tanpa kelibat ayam tambatan mereka Ashaari Shamsuddin yang digantung perlawanan. Begitupun kejayaan sesebuah pasukan tidak hanya bergantung kepada seorang pemain sahaja.Tetapi dalam beberapa perlawanan yang sempat saya lihat membabitkan pasukan Terengganu, kehadiran pemain kebangsaan itu telah beberapi kali membuktikan dia mempunyai keupayaannya mampu untuk merubah keputusan sekaligus  memihak kepada Terengganu.

Tentu sekali kekalahan 3-0 itu pasti membangkitkan semangat anak-anak buah Irfan Bakti untuk menebus kekalahan dan maruah mereka selepas dimalukan terutamanya ketika bermain digelanggang dan dihadapan penyokong sendiri.

Namun begitu suasana di pentas final adalah sesuatu pengalaman yang amat berbeza dengan ribuan penyokong fanatik pasukan masing-masing membanjiri setiap penjuru stadium sudah pasti menjanjikan pertembungan kedua-dua pasukan ini akan menjadi lebih menarik.

Bagi jurulatih Terengganu, Irfan Bakti kekalahan 3-0 tempoh hari pasti ianya menjadi satu peluang dan pembelajaran terbaik untuk mengenal pasti kelemahan pasukannya dan kekuatan pihak lawan sekaligus mengatur strategi khusus bagi memerangkap pasukan lawan dalam perlawanan akhir nanti.

Sudah pasti kehadiran semula Ashaari Shamsuddin bakal merubah nasib pasukan Terengganu dan berjaya membawa Piala FA ke Kuala Terengganu selepas kali terakhir mereka memenangi Piala FA sejak tahun 2000.

Adalah diharapkan saingan Piala FA kali ini mampu meningkatkan tahap mutu bolasepak negara dengan corak permainan yang menarik ditambah dengan kehadiran ribuan penyokong fanatik yang sememangnya terkenal dari kedua-dua pasukan itu nanti. Semoga berjaya dan tahniah buat kedua-dua pengendali pasukan Dato' M.Karathu dan Irfan Bakti.