Pemain Terengganu meraikan kejayaan memenangi Piala FA 2011
SYABAS dan tahniah buat pasukan Terengganu apabila muncul juara Piala FA musim ini selepas menundukkan Kelantan 2-1 dalam masa tambahan. Tentunya jurulatih Irfan Bakti pasti menjadi orang paling gembira selepas melakukan percaturan dengan memasukkan pemain gantian Ahmad Nordin Alias bagi menggantikan Faruqi Ashaari sekaligus mencetus kebangkitan Terengganu dan berjaya menghasilkan gol kemenangan pada masa tambahan.
Sebelum itu ketika perlawanan berbaki 10 minit Nurul Azuan Roya berjaya meletakkan Kelantan mendahului 1-0 namun berlaku sedikit kesilapan di benteng pertahanan pada minit-minit terakhir menghidupkan peluang Terengganu untuk menyamakan kedudukan hasil gol sendiri pemain pertahanan Daudsu yang menanduk bola masuk ke gawang gol sendiri.
Gol kemenangan pasukan Terengganu adalah hasil dari satu sepakan sudut yang berjaya ditanduk oleh ketua pasukan Terengganu, Marzuki kekawasan gol dan dirembat terus oleh Ahmad Nordin dalam kotak penalti.
Biarpun sebelum ini pasukan Terengganu tewas 0-3 kepada Kelantan dalam perlawanan Liga Super namun kemenangan malam tadi cukup bermakna buat mereka untuk mengubati kekecewaan itu. |