Tuesday, January 18, 2011

GANDINGAN BARU SAFEE DAN FADZLI MANTAPKAN SELANGOR

HATRIK Piala Sumbangsih, kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia menjadi idaman skuad Selangor musim ini, dengan harapan utama disandarkan kepada penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF, Mohd Safee Sali dan gandingan barunya, Mohd Fadzli Saari. 


Pengendali Selangor, K Devan yakin gandingan Mohd Safee dan penjaring 18 gol untuk KL Plus musim lalu itu, mampu merealisasikan harapan Merah Kuning untuk mempertahankan dua kejuaraan serta mengembalikan kegemilangan Piala Malaysia.

“Selepas beberapa sesi perlawanan persahabatan, kombinasi pemain baru dan sedia ada mula menunjukkan keserasian,” kata Devan selepas majlis memperkenalkan pemain dan jersi rasmi Selangor di Stadium Shah Alam semalam.

“Saya yakin jentera serangan musim ini mampu bergerak dengan berkesan dalam memenuhi harapan tinggi. Saya juga dalam proses meluaskan pilihan untuk mencari gandingan Mohd Safee di barisan depan.” 


Turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dalam ucapannya, menyeru pemain mengekalkan reputasi pasukan sebagai gergasi bola sepak negara serta tulang belakang kepada skuad kebangsaan. 


“Perjuangan Selangor bukan saja untuk rakyat negeri ini, tetapi juga kepada negara seperti dilakukan tujuh pemain yang mewakili negara ke Piala Suzuki AFF tahun lalu,” kata Khalid.