PERTARUNGAN untuk merebut kesebelasan utama Harimau Malaya kini bermula apabila ketua jurulatih kebangsaan K Rajagobal memanggil 24 pemain untuk menjalani sesi latihan pertama selepas menjulang Piala Suzuki AFF, Disember tahun lalu.
Sesi latihan bermula 2 Februari depan adalah persiapan awal bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 yang dijadualkan berlangsung pada 29 Jun selain perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Hong Kong di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 9 Februari depan.
Antara pemain yang kembali tersenarai adalah bekas kapten kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak (gambar) yang mengalami kecederaan sebelum ini sehingga tersisih daripada saingan Sukan Asia di China dan Piala Suzuki AFF.
“Saya kini sudah menjalani latihan seperti biasa dan bersedia untuk kembali menggalas cabaran negara di peringkat antarabangsa namun sedar saingan untuk berada di dalam kesebelasan utama bukanlah perkara yang mudah.
“Mahu atau tidak, saya perlu membuktikan kemampuan dan keupayaan kepada jurulatih bagi memastikan tempat di pertahanan tengah terjamin,” kata pemain Negeri Sembilan berusia 24 tahun itu.Ketiadaannya itu menyebabkan Rajagobal terpaksa memikirkan alternatif apabila menggabungkan dua pemain muda, Mohd Muslim Ahmad dan Mohd Fadhli Shas di pertahanan tengah sehingga berjaya membantu Malaysia menjulang Piala Suzuki AFF untuk kali pertama selepas 14 tahun.
Selain Mohd Muslim dan Mohd Fadhli, Mohd Aidil Zafuan juga terpaksa bersaing dengan seorang pertahanan tengah Harimau Muda A, Mohd Faizal Muhammad yang turut mendapat perhatian Rajagobal.
“Walaupun lebih berpengalaman, saya tetap menghormati tiga pemain ini kerana corak permainan mereka di dalam padang adalah matang dan bagus,” katanya.
Dia juga tidak mempunyai masalah jika Rajagobal mahu mengekalkan perancang tengah Selangor, Mohd Safiq Rahim sebagai kapten.
“Terserah kepada jurulatih, namun apa yang penting adalah persefahaman antara pemain dan saya tetap akan bersuara seperti sebelum ini,” katanya.
Rajagobal turut memanggil enam pemain lain yang tidak beraksi di Piala Suzuki AFF seperti Mohd Farizal Marlias, Ahmad Fakri Saarani, Azmi Muslim, S Chanthuru, G Mahathevan dan Shahrizal Mohd Saad.
Mohd Aidil Zafuan sebelum ini menjadi pilihan utama untuk mengemudi pertahanan tengah namun kecederaan yang menimpanya pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2010 ketika menentang Kelantan memaksanya berehat panjang.