Wednesday, December 1, 2010

KENA BEDIL, KENA RATAH, KENA GANYANG

KENA BEDIL, KENA RATAH, KENA GANYANG. Itulah antara topik hangat akhbar tempatan mengenai persembahan skuad bolasepak dalam perlawanan pembukaan Kejohanan Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Gelora Bung Karno Senayan malam tadi


Laporan Kosmo - Skuad bola sepak kebangsaan menerima tamparan hebat apabila tewas 1-5 di tangan Indonesia pada aksi pertama peringkat Kumpulan A saingan Piala AFF Suzuki 2010 semalam.
Turun tanpa kelibat beberapa tonggak utama yang terpaksa diketepikan ekoran masalah kecederaan, skuad kendalian K. Rajagobal itu dilihat terlalu kerdil jika dibandingkan dengan Indonesia.
Bagaimanapun, pada aksi yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno itu, anak-anak buah Rajagobal berjaya membuka tirai jaringan menerusi penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-18.
Namun, kegembiraan barisan pemain Malaysia yang diketuai Safiq Rahim tidak bertahan lama apabila Indonesia memperoleh gol penyamaan selepas tonggak pertahanan, Mohd. Asraruddin Putra Omar tertampan bola masuk ke gawang sendiri empat minit kemudian.
Dibantu dengan sokongan daripada ribuan penyokong yang hadir ke stadium, Indonesia terus menghukum kelekaan barisan benteng pertahanan Malaysia apabila meledak gol kedua menerusi Christian Gonzales pada minit ke-33.
Jaringan tersebut membolehkan Indonesia mendahului perlawanan 2-1 sehingga tamat babak pertama perlawanan.
Sebaik babak kedua bersambung, hasrat anak-anak buah Rajagobal untuk mendapatkan gol penyamaan terbantut apabila dikejutkan dengan gol ketiga daripada pasukan tuan rumah menerusi Muhammad Ridwan pada minit ke-52.
Pemain gantian Indonesia, Arif Suyono meledak gol keempat pada minit ke-77 sebelum Irfan Haarys Bachdim menambah derita Malaysia apabila menjaringkan gol kelima pada lewat babak perlawanan.
Kekalahan tersebut sekali gus menjadikan misi anak-anak buah Rajagobal untuk mara ke saingan peringkat separuh akhir tampak sukar apabila perlu mencatatkan kemenangan dalam dua baki perlawanan peringkat kumpulan.
Sudah pastinya pertemuan menentang Thailand Sabtu ini bakal menjadi penentu terhadap hala tuju Malaysia dalam saingan kali ini sebelum dijadual pula berdepan Loas pada aksi terakhir peringkat kumpulan Selasa depan. 
Laporan Utusan Malaysia - Lawan terlalu hebat atau kalah atas kesilapan sendiri? Apa jua jawapannya, para peminat bola sepak Malaysia harus menelan kepahitan apabila maruah skuad negara dicarik-carik di bumi Jakarta apabila dibelasah 1-5 oleh Indonesia pada perlawanan pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Gelora Bung Karno, semalam.
Malah risiko jurulatih, K. Rajagobal menurunkan Sharbinee Allawee selaku penjaga gol utama negara mengenepikan Khairul Fahmi Che Mat serta menggunakan khidmat dua pertahanan Harimau Muda, Mohd. Muslim Ahmad dan Mohd. Fadhli Shas di dalam kesebelasan utama jelas memakan diri sendiri.
Itulah yang terjadi sebaik wisel permainan dimulakan apabila tuan rumah yang bersemangat mahu memburu kemenangan awal-awal lagi sudah memberi amaran melalui gerakan awang import Uruguay, Cristian Gonzales dan Irfan Bachdim.
Indonesia hampir di hadapan pada minit ke-2 melalui Gonzales yang berjaya melepaskan percubaan tepat ke arah pintu gol Malaysia, namun mujur Sharbinee Allawee tangkas menafikan hajat tuan rumah untuk mendapatkan gol awal.
Bagaimanapun, Harimau Malaya terlebih dahulu mengambil giliran mengejutkan tuan rumah melalui gol pendahuluan pada minit ke-18 menerusi gerakan mantap yang dipamerkan oleh Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha.
Melalui dari arah sebelah kiri, Safee bijak meloloskan diri daripada kawalan pertahanan Indonesia untuk melorongkan bola kepada Norshahrul Idlan Talaha yang tidak dikawal bagi meletakkan Malaysia di hadapan.
Walaupun begitu, gol itu yang diharapkan mampu menyuntik semangat perjuangan Malaysia ternyata meleset sebaliknya membuatkan lawan bangkit memberikan tentangan dan hasilnya skuad Garuda berjaya memperoleh jaringan penyamaan pada minit ke-22.
Hantaran lintang daripada sebelah kiri berjaya disambung oleh Irfan sebelum bola tersebut melantun mengenai Sharbinee dan Asraruddin Putra Omar tersepak masuk ke dalam gawang sendiri.
Episod malang Malaysia berterusan 10 minit kemudian, kali ini giliran Gonzales yang mudah melepasi kawalan pemain negara, Mohd. Muslim Ahmad sebelum melakukan rembatan mengelirukan Sharbinee bagi meletakkan Indonesia di hadapan buat kali pertama dalam perlawanan.
Kedudukan 2-1 kekal di separuh masa pertama sebelum Indonesia terus mengganas pada baki 45 minit permainan dan anak-anak buah K. Rajagobal kian layu pada saingan babak kedua.
Ketika kebangkitan diharapkan, Indonesia terus mengendurkan semangat pemain Malaysia menerusi gerakan menarik pemain bek kanan, Muhammad Ridwan yang bijak melepasi kawalan Muslim dan Fadhli sebelum tenang menewaskan Sharbinee yang keseorangan di pintu gol.
Terdesak melihat kedudukan semakin kritikal, Rajagobal memasukkan Ashari Samsudin dan Amar Rohidan menggantikan Amri Yahyah dan Mohd. Razman Roslan pada minit ke-63 tetapi ia tidak mengubah banyak corak permainan Malaysia.
Asrarudin yang dilihat antara pemain paling banyak melakukan kesilapan di kubu negara bermurah hati memberikan gol keempat kepada Indonesia selepas gagal mengeluarkan bola bahaya di dalam kotak penalti dan Arif Suryono pantas menyambar peluang terhidang bagi membunuh api perjuangan pemain Harimau Malaya.
Pemain berdarah kacukan Belanda dan Indonesia, Irfan Bachdim memulakan pesta gemilang buat penyokong Indonesia dengan gol kelima pada masa kecederaan hasil hantaran bola lintang berbahaya Oktovianus Maniani bagi menyimpulkan malam derita buat bola sepak Malaysia.


Laporan Berita Harian - Skuad Raja tak mampu harungi asakan Indonesia

KEMPEN Piala Suzuki AFF negara tampak seperti menjanjikan harapan baru pada 20 minit pertama permainan perlawanan pembukaan bertemu Indonesia di Stadium Bung Karno malam tadi, tetapi baki 70 minit seterusnya menyaksikan harapan itu diragut pasukan tuan rumah dengan kemenangan besar 5-1.


Malaysia bermula baik pada babak pertama jaringan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-18 meletakkan negara di depan selepas penyerang itu menerima umpanan baik daripada Mohd Safee Sali yang mengawal kemas bola dari sisi padang.
Namun kegembiraan kem negara tidak bertahan lama apabila Indonesia menyamakan kedudukan selepas Mohd Asraruddin Putra tertampan bola ke gol sendiri ketika cuba mengeluarkan hantaran lintang ke depan pintu gol oleh pemain tuan rumah pada minit ke-21.

Pertahanan anak buah K Rajagobal terus ditimpa masalah, dan gol kedua Indonesia sebelum rehat muncul menerusi Christian Gonzales (m33) yang berjaya menggelecek dua pertahanan negara sebelum merembat melepasi Mohd Sharbinee Allawee.

Pada babak kedua, barisan pemain muda negara terus ditimpa malang apabila gerakan satu dua pemain tuan rumah berjaya memperdayakan pertahanan Malaysia untuk Muhammad Ridwan (m52), Arif Suyono (m76) dan Irfan Haarys Bachdim (m93) melebarkan kedudukan kepada 5-1.

Malaysia kini di tangga tercorot Kumpulan D tanpa sebarang mata, manakala Indonesia melonjak ke tangga teratas, mengatasi Thailand dan Laos yang berkongsi satu mata selepas terikat 2-2 semalam. Malaysia akan berdepan Thailand Sabtu ini manakala Indonesia bertemu Laos.

No comments: