Wednesday, January 26, 2011

FELDA UNITED SASAR EMPAT TERATAS LIGA SUPER

KUALA LUMPUR - Felda United meletakkan sasaran awal untuk menduduki kelompok empat teratas dalam saingan Liga Super musim ini.

Namun, langkah awal mereka dalam saingan Liga Super harus berhati-hati kerana 2011 adalah musim pertama mereka dalam saingan tertinggi bola sepak tempatan.


Selain itu, jurulatihnya, E. Elavarasan berkata, pasukannya juga memerlukan masa untuk membentuk keserasian antara pemain lama dan pemain musim ini.

Katanya, Felda United telah mendapatkan 16 muka baru.
''Mereka ini akan beraksi bersama pemain musim lalu yang masih dikekalkan dan saya rasa dalam tempoh sebulan, mungkin mereka dapat mewujudkan keserasian.
''Sasaran kita adalah untuk cuma menang pada setiap perlawanan, saya yakin semua pemain dapat merealisasikan impian yang diharapkan oleh pengurusan pasukan,'' katanya pada pelancaran jersi pasukan itu dan pelancaran kelab penyokong Felda United di sini, semalam.

Pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.
Mengenai perlawanan pertama menentang Johor FC Sabtu ini, Elavarasan berkata, persediaan berjalan lancar.
''Untuk perlawanan pertama ini kita cuma mahu bermain seperti biasa selain menjadikan ia sebagai perlawanan pemanas badan, juga mahu pemain menyesuaikan diri bermain pada waktu petang.
''Kita tidak mahu pemain mengalami kecederaan pada awal saingan liga kerana ia akan membantutkan perjalanan untuk memburu sasaran yang telah ditetapkan,'' kata Elavarasan.