Tuesday, February 1, 2011

NS LAKAR KEMENANGAN KEDUA BERTURUT-TURUT

KUALA LUMPUR - Negeri Sembilan menepati status sebagai pasukan pilihan apabila merakamkan kemenangan kedua di Stadium Paroi dengan menjinakkan T-Team 3-1, semalam.

Kemenangan itu meletakkan skuad Hoben Jang Hoben itu di tangga teratas selepas dua perlawanan mengutip enam mata.

Pemain veteran, Idris Karim meletakkan skuad pelawat di hadapan apabila menanduk masuk gol pertama berpunca sepakan sudut pada minit ke-27, namun T-Team berjaya menyamakan kedudukan menerusi Rosdi Talib.

Namun, Negeri Sembilan tidak rela kehilangan tiga mata dan ia terbukti menerusi gol kedua melalui penyerangnya, Firdaus Azizul yang menanduk masuk, sekali lagi berdasarkan situasi sepakan sudut.

Idris melenyapkan sisa kebangkitan T-Team apabila rembatan dari luar kotak penalti menerjah jaring pada minit ke-67 bagi mengekalkan rekod hebat Negeri Sembilan pada permulaan musim Liga Super.

Sementara itu, penyandang juara Liga Super, Selangor kembali mendapatkan keyakinan apabila meraih kemenangan pertama dengan menundukkan Perlis 2-0 di Stadium Utama, Kangar. Penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010, Safee Sali bijak memperdayakan pertahanan Perlis sebelum melepaskan rembatan yang membuahkan hasil bagi gol pertama Selangor pada minit ke-62.

Kelalaian pertahanan Perlis sekali membawa padah apabila pemain kecil molek Selangor, Mohd. Fitri Shazwan Raduwan menggunakan peluang terhidang untuk menghukum skuad tuan rumah dengan gol kedua pada minit ke-76 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Kelantan pula sekadar terikat 1-1 dengan jiran terdekat, Terengganu di Stadium Sultan Mohamed ke-IV. Walaupun mendahului menerusi jaringan kapten, Mohd. Badhrul Mohd. Radzi, Kelantan pada minit ke-35 kempunan memungut tiga mata apabila hantaran Joseph Kalang Tie menemui kepala Mohd.Marzuki Yusof yang menanduk masuk menewaskan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-69 bagi mengikat keputusan 1-1.

Perak harus berterima kasih hasil jaringan tunggal bekas penyerang Kelantan, Akmal Rizal Rakhli yang sebelum itu menggelecek dua pertahanan lawan pada minit ke-92 memberikan kemenangan berharga mengatasi Johor FC 1-0 di Stadium Perak di Ipoh.

Di Stadium Darul Aman, Kedah juga tidak ketinggalan mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pendatang baru, Felda United menerusi jaringan penalti Baddrol Bakhtiar pada minit ke-61 dengan penjaga gol pelawat, Mohd. Hamsani Ahmad mendapat kad merah pada penghujung perlawanan.

Sementara itu, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Yong Kuong Yong muncul wira skuad warga kota, Kuala Lumpur apabila rembatannya dari bahagian tepi di sebelah kanan pada minit ke-54 gagal ditepis kemas oleh penjaga gol, Azizon Abdul Kadir sebelum bola bergolek masuk bagi memberikan kemenangan 1-0 kepada Kuala Lumpur ke atas Sabah.