Saturday, August 7, 2010

FINALIS PIALA MALAYSIA DALAM KUMPULAN A



UNDIAN Piala Malaysia yang berlangsung semalam menyaksikan juara bertahan Negeri Sembilan diletakkan bersama pasukan Kelantan didalam Kumpulan A bersama dengan KL Plus dan pasukan Liga Perdana PKNS Selangor.
 




Berdasarkan kedudukan dalam Liga Super, Kelantan yang merupakan naib juara musim ini dan Negeri Sembilan yang menduduki tangga keenam dilihat `favourite' untuk mara ke suku akhir. Namun cabaran KL Plus yang merupakan pasukan dari Liga Super tidak boleh dipandang rendah ekoran skuad itu juga berjaya mencatat beberapa keputusan yang memberangsangkan dengan pasukan pilihan ketika saingan dalam Liga Super. 

Sementara bagi PKNS Selangor, kelab ini juga berupaya untuk menonjol dan mencatat beberapa keputusan mengejut sekiranya mereka mendapatkan khidmat beberapa pemain dari pasukan yang tidak layak bagi menghadapi saingan dalam peringkat kumpulan nanti. 

Bagi Kumpulan B, pasukan Terengganu jelas dengan barisan pemain yang mereka miliki mampu untuk mara ke suku akhir dan satu slot lagi bakal menjadi rebutan antara tiga pasukan iaitu Pahang, KL dan Sabah yang dilihat memiliki kekuatan yang agak seimbang.

Kumpulan C saingan pasti sengit diantara Johor FC, Kedah dan Perak bagi mengisi dua slot ke suku akhir. Bagi pasukan Angkatan Tentera Malaysia walaupun berjaya menduduki tangga ketiga Liga Perdana peluang mereka tampak sukar. Namun perlu diingat jika pengurusan ATM benar-benar serius dalam saingan kali ini dengan mendapatkan beberapa pemain berkualiti bagi mengatasi kelemahan dalam pasukan mereka juga mampu untuk memberi saingan. Jika tidak, sekadar pelengkap jadual.

Dalam Kumpulan D pula bakal menyaksikan pertembungan dua pasukan yang baru bergelar juara iaitu Selangor yang baru ditabalkan juara Liga Super 2010 dan Felda United juara Liga Perdana. Prestasi hebat Selangor dalam liga super boleh dianggap sebagai calon favourite untuk menempah tiket ke suku akhir. Satu lagi slot bakal menjadi rebutan antara pasukan T-Team, Perlis dan juara Liga Perdana 2010 Felda United. Namun ianya tidak mengejutkan sekiranya juara Liga Perdana itu berjaya untuk mara mengiringi Selangor.




Kami dari Berita Piala Malaysia (BPL) mengucapkan tahniah buat pasukan Selangor dan Felda United diatas kejayaan mengungguli Liga masing-masing. Adalah diharapkan saingan Piala Malaysia Edisi ke-2010 kali ini mampu memulihkan dan meningkatkan martabat sukan bola sepak negara yang mula menampakkan bibit-bibit sinar untuk kembali ke zaman kegemilangan era 70an yang kita bangga suatu ketika dahulu. 

No comments: