Tuesday, November 23, 2010

DOLLAH SALLEH KEKAL BERSAMA PAHANG

Dollah kekal jurulatih, Surendran mantapkan skuad bola Pahang - Utusan Malaysia

Surendran sertai Pahang
KUANTAN - Dollah Salleh sah kekal sebagai jurulatih skuad bola sepak Pahang musim 2011, dengan matlamat sekurang-kurangnya membawa pulang satu daripada tiga gelaran juara dalam saingan Piala Malaysia, Liga Super atau Piala FA.

Pengurus Pahang, Datuk Che Nasir Salleh mengesahkan semua pemain Pahang musim lalu dikekalkan, kecuali Darma Raju yang menyertai Selangor, manakala Nik Zul Aziz Nawawi dan Hasmizan Kamarodin berhijrah ke Terengganu.



Pahang turut menerima kehadiran dua penyerang Selangor, R. Surendran dan anak bekas jurulatih dan penyerang Pahang, Zainal Abidin Hassan, M. Zaiza Zainal untuk menajamkan jentera serangan.


"Dollah Salleh kekal sebagai jurulatih dan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) menetapkan matlamat untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala musim depan," katanya.


Dollah dan sebahagian besar pemain musim lalu serta dua penyerang Selangor itu sudah mendapat lampu hijau daripada Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah untuk memulakan latihan.

Kemasukan dua penyerang Selangor itu sebahagian usaha Pahang mengatasi kelemahan yang agak ketara sehingga terpaksa meminjam penyerang Johor, Mohd. Faizol Hussain, dalam saingan Piala Malaysia.

Tiada perubahan besar di semua posisi, kecuali kepincangan barisan hadapan yang memerlukan sekurang-kurangnya seorang penyerang terbaik untuk mengecap kejayaan lebih membanggakan.

"Pahang berjaya mendapatkan dua penyerang, iaitu seorang penyerang berpengalaman, sementara seorang lagi penyerang muda yang mampu di bentuk sebagai penggempur berbisa" katanya.

Skuad kendalian Dollah Salleh berjaya berada menduduki kelompok lapan pasukan teratas Liga Super, serta layak ke suku akhir Piala Malaysia selepas tewas tipis kepada Johor FC, mampu lebih menonjol musim depan.

Sebahagian besar pemain Pahang berusia dalam lingkungan 23 hingga 25 tahun kecuali ketua pasukan , Jalaludin Abu Jaaafar yang dilihat masa terbaik untuk mereka mencapai kemuncak prestasi

Che Nasir yakin, barisan muda Pahang yang agak gementar dalam saingan peringkat tinggi seperti saingan suku akhir di hadapan puluhan ribu penyokong musim lalu, diharap mampu tampil dengan lebih berkeyakinan.

"Pemain muda Pahang sudah banyak menimba pengalaman dan mereka semakin menunjukkan peningkatan musim lalu dan prestasi mereka di harap benar-benar memuncak di musim ini, " katanya.

Pahang masih mencari pemain berpengalaman bagi membentuk skuad yang lebih berjaya berbanding musim lalu untuk mencapai matlamat yang dipertaruhkan kepada Dollah dan anak buahnya.

No comments: