Monday, November 29, 2010

RAJAGOPAL TIDAK GENTAR INDONESIA GUNA PEMAIN IMPORT


Cristian Gonzales
SEPANG - Biarpun kelibat penyerang berbahaya Indonesia, Boas Salossa telah digugurkan oleh jurulatih, Alfred Riedl atas masalah disiplin, skuad Garuda masih mempunyai rahsia sulit untuk berhadapan Malaysia, esok.


Pemain yang dimaksudkan ialah Cristian Gonzales, penyerang berasal dari Uruguay yang baru sahaja diserapkan ke dalam skuad kebangsaan Indonesia, selepas mendapat taraf kerakyatan warga negara Indonesia pada 1 November lalu.

Pemain yang beraksi tujuh tahun dalam Liga Indonesia dan kini bersama kelab Persib Bandung, Gonzales jelas mampu memberikan ancaman tambahan kepada pertahanan Malaysia, selain kehadiran penyerang veteran, Bambang Pamungkas.
Namun, jurulatih K. Rajagobal tidak gusar dengan kehadiran penyerang setinggi 1.7 meter itu, yang menjaringkan 32 gol musim lalu.


''Adakah perlu saya berasa takut kepada pasukan Indonesia hanya kerana dia seorang? Saya rasa tidak perlu, kerana permainan bola sepak bergantung kepada kemampuan 11 pemain, bukannya terletak pada seorang pemain sahaja.
''Mereka juga ada kelemahan yang mungkin kita boleh dieksploitasi. Apa paling penting kita kena yakin dengan kemampuan sendiri.
''Apa yang saya mahu fikirkan adalah mengenai strategi pasukan ini daripada terlalu memikirkan bagaimana aksi Gonzales, '' katanya.

Rajagobal berkata, pertahanannnya tidak akan memberikan tumpuan khusus kepada Gonzales, sebaliknya menyifatkan semua pemain Indonesia mampu memberi ancaman.

''Para pemain saya sudah bersedia menangkis serangan bukan daripada Gonzales sahaja, tetapi semua pemain mereka yang mara ke kubu kami.
''Kami akan beraksi seperti biasa dan tidak mahu berasa tertekan kerana tekanan sebenarnya lebih terbeban kepada tuan rumah dalam memenuhi harapan penyokong mereka,'' jelasnya.

No comments: