Monday, November 29, 2010

SKUAD NS BUAT ROMBAKAN BESAR

TERDAPAT perubahan besar dalam senarai pemain skuad Negeri Sembilan berdasarkan penyertaan beberapa pemain luar pasukan itu selain pengguguran pemain muda dan perpindahan beberapa pemain musim lalu ke pasukan lain menjelang saingan Liga Malaysia 2011 bermula Januari ini. 



Selain pengguguran beberapa pemain muda yang tidak disambung kontrak antaranya Mohd Afandy Adimel, finalis Piala Malaysia itu kehilangan empat pemain utama yang berpindah ke pasukan lain iaitu Rezal Zambery Yahya dan Mohd Rahman Zabul ke pasukan Johor FC manakala Ching Hong Aik serta Sani Anuar Kamsani dalam pasukan Liga Perdana.

Bagaimanapun, terdapat empat pemain luar - masing-masing dua dari Perlis iaitu Mohd Fariza Marlias dan Mohd Ahmad Aminuddin selain dua dari KL Plus membabitkan Norhafiz Zamani Misbah dan Irwan Fadly Idrus dilihat sudah memulakan latihan bersama skuad itu sejak hampir dua minggu lalu.

Dua lagi pemain yang sebelum ini disebut-sebut bakal menyertai Negeri Sembilan iaitu penyerang Kelantan, Hairuddin Omar dan penyerang Perlis, Mohd Fakri Shaarani, bagaimanapun belum kelihatan. 

Namun, butiran lanjut mengenai penyertaan keempat-empat pemain berkenaan dalam skuad Hoben Jang Hoben itu sehingga kini belum didedahkan pihak pengurusan pasukan itu. 

Sumber pengurusan pasukan memberitahu penyertaan keempat-empat pemain terbabit ada kaitan dengan langkah pengurusan melakukan rombakan dalam usaha untuk membentuk skuad mantap bagi merealisasikan misi mendapatkan tiga piala iaitu mengekalkan trofi Piala FA, menjuarai Liga Super dan merampas kembali Piala Malaysia.

No comments: